Monday, September 10, 2012

SEJARAH PARTI KEADILAN RAKYAT


Selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada kerajaan serta UMNO pada tahun 1998, seterusnya diaibkan dengan pelbagai pertuduhan serta dibelasah semasa dalam tahanan, sejumlah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik telah membuat keputusan menubuhkan Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) dan Pergerakan Keadilan Sosial (Adil) sebagai landasan untuk menyatakan sikap terhadap perkembangan yang berlaku pada waktu itu.

Satu keputusan telah diambil pada waktu itu di kalangan para pemimpin di pelbagai peringkat, aktivis dan para penyokong gerakan reformasi untuk menubuhkan parti politik baru. Usaha ini menemui jalan buntu kerana Pendaftar Pertubuhan tidak meluluskannya. Maka, jalan lain untuk menubuhkan parti politik baru ini ialah dengan mengambil alih sebuah parti politik yang sedia berdaftar iaitu Ikatan Masyarakat Islam Malaysia yang ditubuhkan pada 1990. Pelancaran Parti Keadilan Nasional (Keadilan) diadakan pada 4 April 1999.

Semasa Pilihan Raya Umum ke-10 pada tahun 1999, Keadilan membentuk kerjasama dengan Parti Islam se-Malaysia (PAS), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Kerjasama ini dikenali dengan nama Barisan Alternatif.

Manifesto bersama – Ke Arah Malaysia yang Adil – telah dikeluarkan dalam bentuk buku kecil dengan hampir 50 muka surat. Kandungannya memuatkan cabaran terbesar sejak kemerdekaan iaitu krisis politik, ekonomi dan sosial. Enam agenda manifesto bersama pada waktu itu ialah agenda pengukuhan ekonomi, pemulihan institusi, usaha meningkatkan 10 aspek sosial masyarakat, perpaduan nasional, demokrasi tulen dan memperbaiki imej serta kedudukan di peringkat antarabangsa.

Dalam Pilihan Raya pertama yang disertai itu, Keadilan telah berjaya memenangi 5 buah kerusi Parlimen di negeri Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu dan 4 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri Selangor, Pahang, Pulau Pinang dan Perak. Kerusi DUN bertambah pada tahun 2001 melalui Pilihan Raya Kecil di Lunas, Kedah.

Selepas itu, perbincangan demi perbincangan diadakan dengan PRM untuk percantuman kerana Keadilan dan PRM mempunyai misi perjuangan yang sama. PRM telah lama ditubuhkan berikutan semangat menuntut kemerdekaan yang membuak-buak pada dekad-dekad 40an dan pengharaman suara progresif dalam politik negara, iaitu AMCJA-PUTERA. Ia dilancarkan para 11 November 1955 oleh pemimpinnya, Ahmad Boestamam dan Dr. Burhanuddin Al Helmy yang menjadi pemimpin PAS pada waktu itu turut sama menyampaikan pidato utama. PRM kemudian berjaya menjadi pemain politik utama negara, dan pada tahun-tahun 60an dan 70an mempunyai anggota dalam Parlimen dan beberapa DUN. Pilihanraya Majlis Perbandaran juga dimenangi oleh PRM di Pulau Pinang, Melaka dan Serdang.

Akhirnya, pada 3 Ogos 2003, Keadilan dan PRM bersatu dengan nama baru, Parti Keadilan Rakyat (PKR). Semasa Pilihan Raya Umum 2004, Keadilan hanya menang satu kerusi di Parlimen yang diwakili oleh Presiden Parti, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismai.

Dalam Pilihan Raya Umum tahun 2008, rakyat telah memberikan Keadilan 31 kerusi di peringkat Parlimen dan 40 kerusi di peringkat DUN. Y.A.B. Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim kini menjadi Menteri Besar Selangor dan Y.B. Dato’ Dr. Mansor Othman kini merupakan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang. Dato’ Seri Anwar sudah kembali aktif sebagai Ketua Umum selepas dibebaskan dan menjalani rawatan di luar negara.

No comments:

Post a Comment