Obama adalah seorang pemidato hebat, namanya dikatakan sebaris dengan bekas-bekas presiden Amerika yang dikenali sebagai pemidato hebat seperti Bill Clinton, Andrew Jackson, John Kennedy, Abraham Lincoln, Ronald Reagan dan Franklin Roosevelt.
Perbezaan antara Obama dengan bekas-bekas presiden yang disebutkan tadi hanyalah pada warna kulitnya sahaja. Walaupun dalam perlembagaan Amerika yang menganut amalan politik demokrasi itu, tidak menghalang siapa sahaja untuk menjadi presiden tetapi rakyat Amerika yang majoriti berkulit putih masih sukar untuk menerima orang kulit hitam untuk menjadi presiden mereka.
Pada pemilihan presiden tahun 2008, Obama yang berkulit hitam bersaing dengan John McCain dari parti Republican yang berkulit putih. Kalau dilihat dari segi kebolehan dan meritokrasi, Obama jauh lebih hebat dari John McCain, tetapi halangan yang paling besar dihadapi oleh Obama ketika itu untuk menang dalam pemilihan itu ialah warna kulit beliau. Andainya Obama berkulit putih, sudah pasti Obama dapat mengalahkan John McCain dengan begitu mudah.
Saya percaya pemilihan presiden Amerika yang akan berlangsung pada 6 November 2012 ini yang merupakan pemilihan presiden penggal kedua bagi Obama, kemenangan akan berpihak kepada beliau. Saya berani mengatakan Obama kali ini akan menang secara mudah kerana pada pertandingan kali ini, rakyat Amerika tidak lagi melihat kepada faktor warna kulit.
Obama semasa menjadi presiden telah dapat mempamirkan dirinya kepada rakyat Amerika bahawa beliau sama sahaja seperti presiden-presiden kulit putih sebelum ini. Dia telah membuktikan, dia menjadi presiden kepada rakyat Amerika bukan menjadi presiden kepada warga kulit hitam Amerika. Dia telah memperjuangkan kepentingan rakyat Amerika keseluruhannya, bukan terbatas kepada kulit hitam sahaja.
Mungkin disebabkan warna kulit hitamnya itu juga, Obama mempunyai kelebihan, beliau mempunyai sikap menyenangi Negara-negara Asia yang jarang ada kepada presiden-presiden Amerika sebelum ini. Di bawah pentadbiran Obama, Amerika mempunyai dasar luar yang lebih mesra Asia.
Walaupun dasar Negara Amerika tidak membeza-bezakan warna kulit, tetapi diskriminasi terhadap warga kulit berwarna yang minoriti itu masih tetap berlaku dalam masyarakatnya.
Itulah Amerika, walaupun anak-anak mereka yang berbagai warna kulit bersekolah di sekolah yang sama, menggunakan bahasa yang sama sejak beratus tahun lamanya, tetapi masih juga tidak dapat mengikis sepenuhnya amalan apartheid. Apapun, sekurang-kurangnya mereka telah berusaha menghalang secara undang-undang dan menghalang faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada amalan diskriminasi kaum dan apartheid.
Sebaliknya kita di Malaysia, dengan secara sukarela menjemput dasar apartheid dengan mengasingkan anak-anak kita bersekolah di sekolah mengikut kaum.
No comments:
Post a Comment